ARTIKEL SEBELUM

1/11/13

BN 'ketagih' umum projek setiap kali PRK

JERAI: PAS mendakwa BN "ketagih pengumuman" setiap kali berdepan pilihan raya termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau kali ini.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata, BN akan hilang punca jika tidak berbuat demikian kerana bagi mereka, itulah talian hayat untuk memancing undi.

"Kita lihat pengumuman itu jadi satu projek tradisi setiap kali kempen pilihan raya.

"Ibarat kalau tak buat pengumuman janji manis itu seperti tak kena air ketum," katanya pada sidang media di markaz induk PAS di Sungai Limau di sini hari ini.

Sehingga kini sejumlah RM15.15 juta nilai pengumuman projek yang dibuat BN setakat hari ke sepuluh kempen hari ini.

Ianya termasuk pengumuman bantuan kepada sekolah, program bantuan Azam Tani Mara, peruntukan kepada masjid, bantuan baiki rumah, pemberian cermin mata serta tukun tiruan.

Selain itu, bantuan dalam bentuk anak pokok, baja, anak ayam, sabun mandi dan minyak masak juga diberikan.

Bagaimanapun kata Mahfuz ianya hanya bersifat pengumuman janji manis, seperti apa yang berlaku ketika kempen BN di PRK Kuala Besut sebelum ini.

Dengan nilai pengumuman RM377 juta untuk 10 projek segera, sehingga kini tidak nampak satu pun projek di Kuala Besut yang dilaksanakan seperti dijanjikan.

Di samping itu, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah mempersoal kenapa nisbah peruntukan kepada Sungai Limau terlalu kecil berbanding Kuala Besut.

"Di Kuala Besut, BN umum 10 projek segera dengan nilai RM377 juta. Di Sungai Limau ini hanya RM15.15 juta.

"Adakah ini bermakna, Sungai Limau ketika Kedah di bawah pentadbiran Allahyarham Ustaz Azizan, tidak banyak masalah yang dihadapi.

"Berbanding di Kuala Besut, yang diperintah oleh BN, mungkin terlalu banyak masalah dan jauh ketinggalan sehingga sejumlah RM377 juta peruntukan diperlukan," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud