YAN - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata penjawat awam negeri itu yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau 4 November depan, dibenarkan masuk lewat bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Katanya, mereka diberikan pelepasan khas bagi membolehkan mereka mengundi sebelum memulakan tugas.
Pihak swasta di negeri ini juga disarankan supaya mengikut langkah kerajaan negeri bagi memastikan petugas mereka dapat keluar mengundi, katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera Puteri Umno di sini hari ini.
"(Para penjawat awam Kedah) Tidak perlu bimbang diambil tindakan kerana memang tanggungjawab kita sebagai pengundi. Ini adalah cara terbaik," katanya.
Mukhriz berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan negeri memberikan cuti umum kepada kakitangan negeri ini memandangkan hanya 27,222 pengundi yang terlibat pada PRK tersebut berbanding dua juta penduduk negeri ini.
Semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya kerajaan negeri Kedah memberi cuti umum kepada kakitangan awam negeri sempena PRK itu.
PRK tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan calon PAS Mohd Azam Abd Samat. - Bernama