ARTIKEL SEBELUM

29/10/13

Pas akui terlepas pandang

 Pas akui terlepas pandang

YAN - Pas mengakui terlepas pandang sekeping gambar yang dimuatkan dalam risalah calonnya, Mohd Azam Abdul Samat untuk PRK Dun Sungai Limau.

Pengarah operasi PRK itu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, semua urusan mereka bentuk, pengumpulan maklumat dan pemilihan gambar diserahkan kepada kumpulan pereka itu yang sudah biasa melakukan kerja percetakan parti sebelum ini.

Beliau berkata, Pas memberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukan semua kerja dan hanya menyerahkan hasil kerja akhir untuk semakan.

"Kita hanya buat semakan dari segi ayat, bahasa dan gambar. Semuanya nampak elok tanpa menyedari ada sekeping gambar yang tidak betul. Kalau kita tahu, kita tidak akan guna

"Pas tiada niat untuk menipu sesiapa dan kesal dengan kejadian yang berlaku. Kalau kita tahu gambar itu tidak betul, sudah pasti kita tidak akan menyiarkan dalam risalah kita," katanya pada sidang media di markas besar Pas di Sungai Limau hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah diminta mengulas pengedaran risalah calon Pas yang turut mengandungi sekeping gambar "super impose" menunjukkannya sedang berbual dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Setar dua tahun lalu.

Berikutan itu, melalui segmen fakta atau auta, Sinar Harian hari ini menyiarkan gambar sebenar menunjukkan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian (ketika itu Editor Sinar Harian Utara), Muhamad Mat Yakim bersama Ketua Biro Sinar Harian Utara, Mohd Idros Mohd Ali mengunjungi Allahyarham pada 25 Mei 2011 di pejabatnya sempena sesi wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Azizan.

Manakala gambar diubahsuai menggunakan teknik superimpose kononnya Mohd Azam (berkopiah) bersama Mohd Idros bertemu Azizan.

Menurutnya, Pas mempunyai banyak lagi koleksi gambar Mohd Azam dengan Azizan dan tidak mempunyai masalah untuk menggunakannya jika diperlukan.

"Kita ada bertimbun-timbun gambar calon dengan Ustaz Azizan. Atau orang Kedah kata berkenjah. Kita boleh guna banyak lagi gambar lain," katnya.

Sehubungan itu, Pas akan menarik balik risalah berkenaan dan menggantikannya yang baru untuk edaran kepada pengundi Dun Sungai Limau sedikit masa lagi.

"Kita akan menyiasat dan meminta pereka terbabit memberi penjelasan mengenai perkara itu," katanya.

Ditanya sama ada akan menyiarkan ralat dalam risalah berikutnya, Amiruddin berkata tidak perlu kerana sudah memaklumkannya melalui sidang media.

"Kalau dah keluar berita ini dalam akhbar esok, itu bermakna macam penyiaran ralat daripada kita," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud