PAS akan memfailkan injunksi dalam masa terdekat ini ke atas seorang wakil rakyat Umno di Perak yang didakwa meraih kemenangan dengan menyalahi peraturan Akta Pilihan Raya, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin .
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu, injunksi tersebut adalah antara empat daripada lapan tuntutan petisyen pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang bakal dibawa ke Mahkamah Persekutuan bagi proses rayuan setelah ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya, Kuala Kangsar sebelum ini.
"Kita akan failkan tuntutan kita ke atas wakil rakyat Umno tersebut. Kita mahu mahkamah memberikan injuksi kepada dia untuk melarangnya masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak kerana telah melanggar undang-undang pilihanraya di mana sebelum ini kita mempunyai tempoh masa bantahan selepas PRU namun tidak pada (PRU13)," katanya dalam satu forum Jelajah Solidariti Orang Kena Zalim (OKZ) di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad, Selangor.
"Semua bukti mengenai penipuan ketika (PRU13) telah kita kumpul termasuk daripada rakaman video, rasuah siapa petugas (SPR) dan wakil Umno yang memberi rasuah termasuk catatan masa dan alamat. Semuanya lengkap, kerana itu kita mengharapkan rayuan diterima bagi mendapat perbicaraan penuh terhadap kes tersebut. Jika tidak dapat semua, kita berharap hakim menerima dua daripada petisyen itu," katanya.Nizar berkata antara lain rayuan petisyen pilihanraya itu turut mengemukakan beberapa bukti wujudnya rasuah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Umno.
Nizar turut mendedahkan alasan pertukarannya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang kepada DUN Changkat Jering semasa PRU13 lalu.
"Saya menang di DUN Pasir Panjang pada PRU12, namun apa yang dilakukan oleh Umno, mereka menukarkan kerusi daripada MIC kepada lubuk Umno. Kemudiannya menambah pengundi baru di DUN Pasir Panjang sebanyak 11,000 orang. Tidak cukup dengan itu, SPR juga menambah 3,000 pengundi tegar Umno dari Lumut untuk didaftarkan di Pasir Panjang selain memindahkan 800 penggundi dari DUN Pasir Panjang ke DUN Setiawan," katanya.
Dalam PRU13 lalu, Nizar memenangi DUN Changkat Jering dengan jumlah undi 14,495, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Husin dengan undi sebanyak 13,325.
Sumber
Sumber