Ahli Parlimen PR mempertahankan bajet alternatif yang bakal diumumkan pihak pembangkang mampu untuk memperkukuhkan ekonomi negara daripada kejutan ekonomi dunia.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Ibrahim berkata, pendekatan reformasi fiskal mampan yang digunakan PR juga mampu memperbaiki profil kewangan negara yang diukur oleh agensi-agensi penilaian kredit antarabangsa.
Dakwa beliau, pembentangan Bajet 2014 kerajaan yang berselindung disebalik unjuran ekonomi yang sentiasa tersasar sehingga memerlukan pembentangan usul perbekalan tambahan setiap tahun akan memberi kesan negatif kepada "kesihatan" perbendaharaan awam Malaysia dan kedudukan fiskal.
"PR prihatin terhadap pembentangan Usul Perbekalan Tambahan ke atas perbelanjaan operasi bernilai RM15.014 bilion yang terdiri daripada RM14.13 bilion untuk "perbelanjaan bekalan".
"Dan RM888.46 juta untuk perbelanjaan tanggungan.
"Usul Perbekalan Tambahan ini memberikan tamparan yang hebat kepada ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia akan memberi kesan negatif kepada perbendaharaan awam serta pemantapan kedudukan fiskal," katanya pada satu sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Izzah mendakwa, Kerajaan BN mungkin gagal mencapai sasaran defisit empat peratus, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2013 tahun lalu jika terus memohon peruntukan tambahan.
Semalam, sidang Dewan Rakyat menyaksikan kerajaan memohon usul Perbekalan Tambahan sebanyak RM14 bilion pertama tahun ini.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, pihaknya mengandaikan tiada perubahan ke atas ramalan pendapatan, nisbah belanjawan ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 5.5 peratus.