ARTIKEL SEBELUM

30/09/13

Masjid Runtuh - Kontraktor, pembekal perlu bertanggungjawab

 Bumbung Masjid Kampung Tebauk di Terengganu runtuh

KUALA TERENGGANU - Pihak kontraktor dan pembekal bahan binaan harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan semula bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di sini yang runtuh hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Datuk Shafii Mohamad berkata, bagaimanapun pembinaan semula itu hanya boleh dilakukan selepas pihak forensik JKR menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, setiap masjid yang dibina biasanya mempunyai jaminan daripada pembekal untuk tempoh 10 tahun.

"Kita telah memanjangkan kes itu kepada JKR pusat di Kuala Lumpur untuk menghantar tenaga pakar bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.

"Kejadian runtuhan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerja pembinaan dan pemasangan masjid bernilai RM5.7 juta itu mendapat kelulusan JKR dan mengikut prosedur ditetapkan," katanya pada sidang media khas mengenai runtuhan itu di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan runtuhan itu mungkin disebabkan bahan yang digunakan atau cara pemasangan yang tidak betul.

"Dari segi pelaksanaan projek yang dibuat dari Januari 2010 hingga 24 Oktober 2011 itu, semua mengikut prosedur malahan reka bentuk masjid dan pembekal juga telah mendapat kelulusan.

"Anggaran kos pembaikan bumbung dan siling memakan belanja sekitar RM200,000 hingga RM250,000. Pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab sepenuhnya membaiki semula kerosakan ini," katanya.

Shafii berkata pihaknya akan menyemak semua projek yang menggunakan material daripada pembekal itu dan pembekal berkenaan akan disenarai hitam jika didapati tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam tender kerajaan.

Jelasnya material yang digunakan itu hampir sama dengan material Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang runtuh pada 20 Mei lepas namun ia bukan daripada pembekal yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar 4 pagi, melibatkan runtuhan kira-kira 20 peratus ruang solat terbuka masjid yang mampu memuatkan 1,000 jemaah.

Sementara itu JKR mengesahkan bahagian utama masjid berkenaan boleh digunakan jemaah kerana pembinaannya dibuat secara berasingan dengan bahagian yang runtuh. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud