KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sepatutnya menumpukan terlebih dahulu kepada tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan, bukannya menyibuk dalam urusan Pakatan Rakyat (PR) dalam menentukan kabinet bayangan pembangkang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dia (Khariy) patut buat kerja dia dan lebih baik fokus kepada tugasnya (menteri) terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan PR," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku Penasihat DAP, Karpal Singh di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khairy hari ini yang mendesak dan mencabar pemimpin PR menamakan barisan kabinet bayangan dalam masa terdekat.
Dalam hal itu, Khairy juga bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi supaya PR mengemukakan barisan kabinet bayangan tersebut.
"Inilah sebenarnya yang dicabar oleh BN begitu lama...kalau mereka rasa bersedia untuk menjadi kerajaan namakan kabinet bayangan mereka.
"Kita cabar mereka, sebab desakan sekarang datang daripada ahli Parlimen pihak mereka. Jadi jangan berdolak dalih lagi...namakan kabinet banyangan dalam masa terdekat," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai belanjawan pembangkang, Anwar berkata, perkara tersebut belum dimuktamadkan lagi.
"Bajet kita belum siap lagi," katanya.