Semua pengguna kenderaan yang masih belum menjelaskan saman trafik dan dikenakan waran tangkap diberi amaran tegas supaya menjelaskan saman tertunggak itu bagi mengelakkan mereka ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak teragak-agak untuk menahan mana-mana pengguna kenderaan yang didapati masih belum menjelaskan saman terbabit.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dalam perkara itu dan akan sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa termasuk menjalankan operasi dan pemeriksaan bagi mengesan pengguna kenderaan terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan sama ada nama mereka dikeluarkan waran tangkap atau tidak bagi mengelakkan mereka ditahan serta-merta semasa operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran Program ‘Amanita Crime Awareness Day’ Peringkat Kontijen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.
“Jangan salahkan polis kalau kita tangkap mereka (pemandu bas) tepi jalan, tangkap mereka di stesen bas hingga menyebabkan jadual perjalanan bas terganggu.
“Polis serius dalam perkara ini kerana mereka yang melakukan kesalahan trafik tidak mahu menjelaskan saman dan tindakan penguatkuasaan yang tegas terpaksa diambil bagi menyedarkan pengguna kenderaaan,” katanya.- sh