Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kabinet bayangan PR.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Anwar tidak perlu memberi jawapan angkuh sekiranya tidak berani mengumumkan kabinet bayangan PR.
Menurutnya yang dipetik dalam akaun Twitternya pagi tadi, perkara itu turut digesa oleh pengundi "atas pagar" supaya PR mempunyai kabinet mereka sendiri.
"Kalau tak berani umum kabinet bayangan, cakap sahajalah tak payah bagi jawapan angkuh.
"Ramai pengundi atas pagar desak PR umum kabinet bayangan. Mungkin boleh biarkan permintaan saya, tapi bolehkah biarkan permintaan mereka?," katanya.
Semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PKR dilaporkan meminta Khairy menumpukan terlebih dahulu kepada tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan bukannya menyibuk dalam urusan PR dalam menentukan kabinet bayangan pembangkang.
"Dia (Khairy) patut buat kerja dia dan lebih baik fokus kepada tugasnya (menteri) terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan PR," katanya.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menafikan kabinet bayangan pembangkang sengaja dijadikan isu oleh BN.
"Kabinet bayangan PR sengaja dijadikan isu oleh BN? Ya, tengok siapa yang buka isu ini," tulisnya dengan menyertai link laporan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang inginkan perkara itu dilakukan. Sh.