ARTIKEL SEBELUM

17/09/13

Ahmad Said lapor polis Facebook palsu

Ahmad Said

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung laman Facebook palsu yang menggunakan identiti beliau sebagai pemilik.

Laporan dibuat kira-kira jam 10.15 pagi oleh Setiausaha Akhbar beliau, Rosli Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Menurut Rosli, Facebook yang dipalsukan itu lebih kepada penyamaran dan segala maklumat yang dimuat naik dalam akaun itu tidak benar dan lebih parah ia menimbulkan kekeliruan rakyat di negeri ini.

Rosli memberi contoh pengumuman cuti tambahan selepas cuti Hari Malaysia yang dimuat dalam Facebook itu dan dikesan pihak pejabat Menteri Besar Ahad lalu kira-kira jam 5.38 petang.

"Perkara ini tidak benar sama sekali dan mereka yang tidak bertanggungjawab itu perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

"Penyamaran diri sebagai menteri besar di laman sosial ini dan fan page Facebook tersebut telah memanipulasi maklumat pentadbiran kerajaan sehingga mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, selain laporan polis, pihaknya juga akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Rosli berkata, sepatutnya pengumuman cuti dibuat oleh setiausaha kerajaan negeri.

"Bayangkan akibatnya jika pengikut Facebook mengambil serius status itu dan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita mempunyai akaun Facebook menteri besar yang asal namun pihak tidak bertanggungjawab itu mewujudkan page itu dengan URL yang berbeza dan telah disalahguna," katanya. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud