ARTIKEL SEBELUM

3/08/13

Siasatan lanjut ke atas Maznah untuk jaga air muka TPM, kata peguam


Penyiasatan lanjut yang dilakukan terhadap pelatih anjing Muslim, Maznah Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Chetz adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan bertujuan menjaga air muka Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata peguamnya Latheefa Koya.

Menurut Latheefa, Maznah tidak seharusnya dirujuk semula ke Majistret dan dikenakan bon di bawah Seksyen 118 yang tidak pernah berlaku bagi orang yang dianggap suspek kerana perintah itu hanya terpakai ke atas saksi atau pengadu.

Katanya, bon yang bertindak seperti akujanji ke atas saksi itu jika diingkari boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000.

“Proses penyiasatan ini amat meragukan kerana selepas Maznah mengemukakan laporan polis segala butiran peribadinya seperti jumlah gaji, tempat tinggal, bilangan adik beradik dan lain-lain tersebar di laman sosial Facebook.

“Siapa lagi yang harus dipersalahkan? Polis tidak sewajarnya melakukan hal seperti ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR semalam.

Apabila ditanya adakah Maznah boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, beliau berkata: “Atas kesalahan apa Maznah boleh didakwa? Adakah kerana dia memegang anjing dalam video berkenaan atau menggunakan takbir raya sebagai bunyi latar video itu?”.

Katanya, perkara ini tidak menjadi isu di luar negara dan kerajaan dilihat partisan dan mengadakan pendakwaan terpilih apabila terus membiarkan mereka yang bersalah di pihak kerajaan untuk tidak didakwa.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan Maznah menghina agama Islam melalui videonya yang tersebar luas di YouTube.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat tindakan susulan.

Muhyiddin dalam kenyataannya pada awal minggu ini berkata perkara yang berlaku di negara ini, bukan Islam memperlekeh agama Islam menunjukkan tiada persefahaman mendalam dalam masyarakat kerana tiada orang Islam mempersendakan agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula menggesa Muhyiddin memohon maaf atas kenyataan tidak berasas dan tanpa fakta berkaitan isu pelatih anjing menghina Islam.

Katanya, Muhyiddin harus berbuat demikian kerana kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk semua kaum dan bukan hanya mewakili satu kaum.

Lim berkata, semua pihak termasuk Kabinet, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) perlu berganding bahu dalam pembentukan negara bangsa bagi mengelakkan polarisasi agama dalam negara ini.

Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga ekor anjing dimuat naik ke dalam YouTube pada Isnin.

Video itu menunjukkan Maznah membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar berhampiran pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Maznah memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya seolah-olah mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)."

Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.

Video Maznah dan anjingnya itu berusia tiga tahun

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud