ARTIKEL SEBELUM

10/08/13

Polis buru penganggur kes lacur kanak-kanak

Polis sedang memburu seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes merogol dan kemudian melacur seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar Melaka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Supt PR Gunarajan berkata Mohd Khairul Azli Isohod, 26, dikehendaki kerana melacurkan kanak-kanak tersebut kepada sembilan lelaki sejak Jun tahun lepas hingga 19 Julai lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek beralamat terakhir di 2961-1 Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil dan dipercayai seorang penagih dadah.

"Dia bertindak melacurkan kanak-kanak itu yang merupakan teman wanitanya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Dia melacurkan kanak-kanak tersebut dengan mengenakan bayaran RM100 tetapi hanya memberi mangsa RM20 untuk belanja.

"Kes terakhir berlaku bulan lepas apabila mangsa dilacurkan kepada seorang lelaki berusia 37 tahun," katanya kepada pemberita di Melaka semalam.

Gunarajan berkata suspek pernah merogol mangsa dan ditahan di Ampang, Selangor pada 5 April tahun lepas namun dia tidak hadir pada hari perbicaraan kes itu pada 24 Jun lepas.

Suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di Kuala Lumpur.

Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di Melaka dan polis sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek.

"Polis percaya kanak-kanak berkenaan masih berhubung dengan lelaki tersebut dan kita sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan lelaki lain yang terbabit dalam kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.Kumares di talian 019-6215585 atau 06-2842222.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud