ARTIKEL SEBELUM

17/08/13

Pelantikan Nadim: Kenapa tidak letak di pusat khidmat?


KUALA LUMPUR: Penjelasan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung pelantikan anaknya di kementerian itu masih belum cukup meleraikan persepsi negatif yang timbul sebelum ini.

Biarpun Naib Presiden Umno itu mengatakan anaknya, Nadim Mohamed Nazri tidak dibayar gajinya dengan wang kerajaan, sebaliknya dengan wang saku Nazri sendiri, masih terdapat persoalan yang perlu dijawab.

 

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Hanipa Maidin (Gambar ) berkata alasan Nazri yang mengatakan gaji anaknya tidak dibayar kerajaan, dan tidak terlibat dengan kerja-kerja kementerian hanya menimbulkan persoalan lain berkaitan pelantikan tersebut.

"Dijelaskan pelantikan Nadim itu tidak melibatkan kerja-kerja kementerian, sebaliknya khusus untuk program di kawasan parlimen menteri tersebut, iaitu Kuala Kangsar.

"Jika benar Nadim dipilih untuk fokus kepada program di parlimen beliau, kenapa tidak diletakkan Nadim di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar, yang secara khusus bertugas untuk tujuan tersebut?" soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu percaya, Nazri telah tersilap dalam perbuatannya namun beranggapan masih belum terlambat untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Sebelum ini, Nazri mengundang kontroversi apabila mengambil anaknya sebagai pegawai khas di kementeriannya.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri menjelaskan bahawa pelantikan anaknya itu adalah pelantikan tidak rasmi dan tidak dibayar gaji oleh kerajaan.

Tindakan Nazri itu mengundang respons pelbagai pihak yang menyifatkan perkara seperti itu tidak harus berlaku bagi memastikan ketelusan dalam sesebuah pentadbiran.

HD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud