TANJONG KARANG - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar akan menarik balik saman fitnah terhadap kerajaan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Sue Lim dan akhbar Selangor Kini yang difailkan pada 14 Mac 2012.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, tindakan itu diambil setelah berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh kedua-dua pihak terbabit seperti yang disiarkan Selangor Kini edisi 16-23 Ogos 2013.
"Saya akan tarik balik saman fitnah ini selepas berpuas hati dengan penjelasan dan seperti yang dipersetujui bersama.
"Bukan nilai saman yang penting sebaliknya maruah dan kredibiliti saya yang difitnah oleh pihak terbabit," katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Tanjong Karang di Padang Astakan, di sini malam tadi.