ARTIKEL SEBELUM

22/08/13

Nahas Bas - Menteri kata terlalu awal 'salahkan' keadaan jalan

KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata masih terlalu awal untuk mengatakan nahas kemalangan bas di Genting Highlands hari ini berpunca daripada keadaan jalan.

Beliau berkata kemalangan maut di laluan berkenaan sebelum ini perlu dijadikan panduan oleh pemilik jalan untuk memikirkan penyelesaian terbaik, seperti mendapatkan nasihat dan panduan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Terlalu awal untuk kita katakan ia berpunca daripada keadaan jalan, banyak lagi aspek lain yang perlu diambil kira seperti faktor kecuaian dan masalah mekanikal.

"Jadi, saya cadangkan supaya pemilik jalan dan pemaju pusat percutian itu supaya dapat duduk dan berbincang dengan JKR berkaitan keselamatan, sejurus laporan polis berhubung kemalangan itu diperoleh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kemalangan yang mengorbankan 37 orang termasuk pemandu bas di KM3.6 Jalan Genting Highlands itu berlaku selepas bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung ketika menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Fadillah berkata walaupun jalan berkenaan bukan di bawah bidang kuasa JKR tetapi pihaknya turut berminat untuk mengetahui kandungan laporan yang bakal dikeluarkan, dan sekiranya pemilik syarikat jalan berminat untuk mendapatkan pandangan, kementeriannya sedia untuk bekerjasama.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya juga akan hanya bertindak selepas laporan polis mengenai kemalangan itu diterima.

"Kemalangan itu kini menjadi kes polis, jadi kita tidak boleh beri respon apa tindakan lanjut yang akan SPAD lakukan ke atas pemilik bas terbabit.

"Banyak aspek perlu diambil kira seperti keadaan bas, jalan, lesen atau pemandu...jadi, SPAD hanya akan nyatakan tindakan berasaskan rumusan atau kajian polis," katanya.

Syed Hamid berkata sebagai kenderaan pengangkutan awam, beliau yakin bas terbabit telah memenuhi kriteria yang diperlukan Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD sebelum dibenarkan beroperasi.

Kemalangan tersebut disifatkan sebagai paling buruk pernah berlaku di kawasan itu dalam tempoh 17 tahun lepas, selepas insiden yang mengorbankan 17 orang termasuk enam kanak-kanak pada Julai 1996. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud