ARTIKEL SEBELUM

3/08/13

Kerajaan BN cuba politikkan isu Syiah

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, tindakan Kerajaan BN dalam menangani isu kontroversi fahaman ajaran Syiah lebih bersifat politik.

Katanya, ajaran Syiah itu bukan perkara baru tetapi telah lama wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam dan kerajaan pula mengambil sikap bukan mahu menangani masalah ajaran itu tetapi hendak jadikan isu politik.

"Seperti mazhab-mazhab lain juga dan PAS tidak menafikan bahawa ajaran Syiah ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia.

"Saya nampak Kerajaan BN bukan mahu tangani tetapi hendak jadikan isu politik. Sepatutnya, perbincangan antara mazhab ini hendaklah dilakukan di kalangan ilmuan, ulamak yang tahu dalam bidang agama dan bukan mereka yang tak tahu hala bincang tentang mazhab ini," ujarnya kepada Harakah.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan, bahawa berlaku perkembangan mazhab-mazhab dalam dunia Islam ini tidak mudah untuk mengkafirkannya.

Ini kerana, kata beliau, dalam mazhab Syiah tersebut ada yang terkeluar daripada Islam dan ada yang masih berpegang dengan ajaran Islam.

Menurutnya, jalan terbaik bagi mencari penyelesaian dalam menangani isu kontroversi Syiah perlu kepada perbincangan tertutup secara akademik dan ilmuan.

"Syiah yang masih lagi dianggap seorang Islam yang dianuti di Iran, di Iraq dan selatan Lubnan. Mereka (Syiah) dibenarkan menunai haji di Mekah kerana ulamak-ulamak mengatakan mereka juga orang Islam.

"Mereka bersembahyang dan mengerjakan haji tetapi banyak cara beribadat mereka (Syiah) ini cara beribadat yang bercanggah dengan kajian-kajian ahli sunnah," ujar beliau.

Ustaz Abdul Hadi berkata, untuk membetulkan keadaan ini perlukan kepada para ilmuan dan bukan sewenang-wenang, bahkan, ulamak-ulamak yang menulis dalam bidang ini berbeza dengan ulamak yang hidup dalam masyarakat Syiah.

"Jadi hendak bincang hal Syiah kena ada orang akademik, perbincangan dalaman dan kerajaan mesti bertindak secara ilmu dan bukan bertindak untuk jadikan isu politik," tegasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi mengingatkan umat Islam di sebalik isu Syiah tersebut mempunyai agenda kuasa besar barat terhadap kuasa nuklear di Iran.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud