ARTIKEL SEBELUM

19/08/13

ADUN: Derhaka jika pertikai keputusan negeri isu surau

 

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid memberi amaran keras kepada ahli politik di peringkat persekutuan agar tidak mempertikai sebarang keputusan kerajaan negeri dalam isu surau di Tanjung Sedili, Johor.

Tindakan itu jika dilakukan dianggap "derhaka" kepada kerajaan Johor kerana mencampuri urusan yang terletak di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri, katanya.

Amaran keras itu yang dilontarkannya sewaktu membahas titah pembukaan Sultan Johor dalam mesyuarat pertama penggal pertama sidang DUN ke-13 turut ditujukan kepada ahli-ahli politik BN.

"Saya menyarankan kepada pihak-pihak tertentu di peringkat pusat agar jangan memandai-mandai hendak menyoal keputusan yang dibuat oleh jabatan agama Islam dan kerajaan negeri Johor Darul Takzim.

"Jangan ada dari peringkat pusat waima dari barisan kita juga yang cuba membuat kenyataan derhaka terhadap tindakan kerajaan negeri Johor lebih-lebih lagi terhadap isu-isu yang menghina agama Islam di bumi ini.

"Kalau kita ini tukang kasut, jangan pula kita hendak mengajar tukang gunting bagaimana hendak mendandan," katanya.

Beliau bagaimanapun sebelum itu menyokong tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melucutkan status pemastautin tetap pemilik resort yang suraunya dijadikan tempat bermeditasi sekumpulan penganut fahaman Buddha itu.

Beliau turut mengalu-alukan KDN mengambil tindakan lanjut terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan keistimewaan imigresen itu.

"Saya juga alu-alukan tindakan selanjutnya oleh Kementerian Dalam Negeri ke atas individu-individu yang diberikan keistimewaan bermastautin di negara ini tetapi menyalahgunakan keistimewaan itu," katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadut sebelum ini mengandaikan surau itu mungkin akan dirobohkan kerana tidak menepati arah kiblat.

Keputusan itu bagaimanapun dilaporkan akan hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam masa sebulan lagi. - Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud