ARTIKEL SEBELUM

27/07/13

Pengaruh menantu, kali ini dalam PAS

Sebelum Pilihan Raya 2013, nama Zaharudin Muhammad, menantu kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) tidak begitu dikenali oleh masyarakat umum kecuali bagi mereka yang aktif dalam PAS.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS pada 2011 dan sebagai Ketua Jabatan Agama di syarikat milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 2012.

Zaharudin dikatakan akan memainkan peranan besar dalam pemilihan PAS akhir tahun ini dimana terdapat gerakan untuk menyingkirkan golongan profesional atau “Erdogan” – sempena nama Perdana Menteri Turki Recep Tayyib Erdogan daripada kepimpinan tertinggi parti Islam itu untuk digantikan dengan golongan ulama.

Golongan profesional yang diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu mempunyai satu kekurangan oleh kerana hampir semua kalah dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

Selain Mohamad yang kalah di kerusi Parlimen Pendang, Salahuddin Ayub tewas dikedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya. Datuk Husam Musa kalah di kerusi Parlimen Putrajaya tetapi menang di kerusi DUN Salor.

Bagaimanapun, Husam tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar baru Datuk Ahmad Yakob. Dr Dzulkefly Ahmad pula kalah di Parlimen Kuala Selangor.

"Ini memberikan peluang besar kepada Zaharudin dan golongan yang tidak gembira dengan penguasaan profesional dalam PAS untuk menang," kata satu sumber dari kepimpinan tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.

“Tambahan lagi sekutu Zaharudin seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan dan timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz kedua-duanya menang di kerusi Parlimen Temerloh dan Pasir Mas. Nasrudin dikatakan terhutang budi dengan Zaharudin oleh kerana usahanya melobi Abdul Hadi agar membuat pengumuman “mengejut” pencalonannya di kerusi Temerloh yang sebelum itu milik calon PKR Ahmad Nizam Hamid," katanya.

Isu Kota Damansara

Zaharudin yang dikenali sebagai Din Ayam itu disalahkan kerana kerusi DUN Kota Damansara - sebelum ini disandang oleh Dr Nasir Hashim pada Pilihan Raya 2008 jatuh ke Barisan Nasional (BN) apabila PAS turut sama bertanding melawan calon PKR, Umno dan tiga lagi calon bebas.

Hasilnya calon BN, Halimaton Saadiah mendapat 16,387 undi dan menang dengan majoriti 1527 undi di Kota Damansara mengalahkan kesemua calon yang bertanding.

Jika dihitung undi yang diterima oleh Nasir 14,860 dan calon PAS Rizuan Ismail 7312, dengan mudah calon PR boleh menang besar dengan 22,172 undi.

Sumber dalaman PAS Selangor memberitahu The Malaysian Insider Zaharudin menggunakan latarbelakang sosialis Nasir sebagai alasan untuk mempengaruhi Abdul Hadi menandatangani watikah Rizuan walaupun Datuk Mustafa Ali yang mengepalai PAS dalam rundingan kerusi antara parti PR sudah bersetuju Presiden PSM itu sebagai calon Kota Damansara dengan menggunakan tiket PKR.

“Bila Nasir menang atas tiket PKR pada 2008, Zaharudin yang menetap di seksyen 8 Kota Damansara tak berpuas hati. Katanya Nasir tidak cukup Islam, tidak selalu di masjid dan memuja Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin yang merupakan tokoh-tokoh komunis,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.

“Mustafa Ali terpaksa turun ke Kota Damansara berceramah bersama Dr Nasir untuk jelaskan kedudukan sebenar kepada orang ramai akan tetapi program itu diboikot oleh PAS kawasan,” tambah beliau merujuk kepada Setiausaha Agung PAS.

Semasa kempen Pilihan Raya 2013, Abdul Hadi menyelar calon PKR yang dikatakan bermahzab sosialis walaupun tidak menamakannya secara terbuka.

“Ada calon yang menjulang gambar Lenin, gambar Stalin. Macam mana orang PAS nak sokong?

“Orang PAS kerjasama dengan Keadilan … dengan DAP je. Tak kerjasama dengan parti Lenin, parti Stalin,” kata beliau merujuk kepada pemimpin komunis Rusia, Vladimir Ilyich Lenin dan Joseph Stalin dalam sebuah klip video di Youtube.

Abdullah-Khairy

Isu Zaharudin ini mengingatkan kita tentang kisah bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi yang dikatakan dipengaruhi dengan kuat dalam pelbagai perkara oleh menantunya, Khairy Jamaluddin semasa memimpin Malaysia.

Khairy disalahkan oleh pembesar-pembesar Umno yang rapat dengan seorang lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan menjadi punca BN gagal mengekalkan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen pada Pilihan Raya 2008 dan kehilangan penguasaan terhadap beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain gagal merampas Kelantan.

Akibatnya, Abdullah terpaksa bersara lebih awal pada 3 April 2009 untuk memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikannya.

Abdullah kini sudah bersara daripada politik Malaysia akan tetapi Khairy masih bertapak sebagai Ketua Pemuda Umno dan dilantik sebagai menteri belia dan sukan selepas Pilihan Raya 2013.

Pilihan Raya 2013 juga menyaksikan keputusan merosot PAS apabila hanya mendapat 21 kerusi Parlimen berbanding 23 yang mereka perolehi pada 2008. Rakan-rakan PR lain DAP dan PKR masing-masing mendapat 38 dan 30 kerusi pada 5 Mei lalu.

Negeri Kedah yang dikuasai PAS pada 2008 juga tumbang pada 2013 dan kedegilan Abdul Hadi yang tidak mahu menggantikan Tan Sri Azizan Razak dengan nama lain sebagai calon menteri besar negeri jelapang padi itu dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan.

Apakah isu menantu Abdul Hadi ini akan turut menjadi punca kejatuhan Ahli Parlimen Marang itu?

Setakat ini masih belum nampak kerana kuatnya pengaruh Abdul Hadi yang dianggap sebagai ulama berpengaruh dalam parti Islam itu. - TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud