ARTIKEL SEBELUM

2/06/13

Sebab Nurul Izzah dihalang masuk Sabah

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mendakwa, larangan memasuki Sabah yang dikenakan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar adalah tidak bermotifkan politik sebaliknya apa yang disebarkan menerusi media sosial adalah bertentangan dengan perkara sebenar.

Ujar beliau, menjelang PRU13 lalu, terdapat ramai pemimpin pembangkang lain datang dan bebas bergerak di seluruh Sabah tanpa halangan.

"Mereka menyebarkan resepi lama yang sama mengandungi pembohongan, penipuan dan fitnah untuk mengaburi mata rakyat.

"Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pintu Sabah sentiasa terbuka kepada mereka yang mahu melihat dan menghayati kepelbagaian etnik dan budaya selain menyertai perayaan di negeri itu.

"Sabah juga mengalu-alukan mereka yang menghormati masyarakat sivil iaitu yang berpegang kepada undang-undang bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian.

"Bagaimanapun, jika kami ada sebab untuk percaya kehadiran anda di sini akan menggugat suasana ideal yang dinikmati Sabah selama ini, anda tidak dialu-alukan.

"Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan," katanya.

Nurul Izzah dihalang daripada memasuki negeri itu pada Khamis.

Musa berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlukan propaganda berterusan daripada pembangkang bagi membangkitkan rasa benci dan prasangka rakyat terhadap kerajaan BN.

"Cukup-cukuplah. Kita perlu bergerak ke hadapan. Pembangkang sudah bermain politik sejak lima tahun lepas. Adakah kita akan terus diikat dengan lebih banyak politiking untuk lima tahun akan datang?

"Ada kerja yang perlu dilakukan. Negara ini perlu ditadbir, ekonomi perlu bertumbuh dan kebajikan rakyat perlu dijaga," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud