PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini sebulat suara mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan.
“Dalam sejarah ada satu atau dua kes pernah difailkan. Tetapi belum pernah sampai 80 hingga 90 kerusi.“Ini saja sudah cukup untuk pengerusi (SPR) dan timbalannya letak jawatan segera,” tegas Anwar ketika sidang media hari ini.
Lebih 80 petisyen membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 merupakan bukti Aziz dan Wan Ahmad cuai serta terlibat dalam kecurangan pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu memberitahu media bahawa BN turut memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Manakala Pakatan Rakyat setakat ini dilaporkan akan mengemuka 35 petisyen dengan 18 daripadanya adalah dari KEADILAN, 14 bagi PAS dan 3 dari DAP.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan bantahan terhadap keputusan PRU-13 dari BN membuktikan kegagalan SPR.
“Apabila BN pun failkan petisyen maknanya mereka pun ada yang tak puas hati dengan perjalanan pilihan raya, itu jelas menunjukkan kegagalan SPR menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.