Pulau Pinang dilanda ombak kuat setinggi 3.5 meter - Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter melanda kawasan Padang Kota Lama sehingga air laut melimpah ke ruang pejalan kaki dan membasahi bahagian tempat letak kereta di bahu jalan hari ini.
Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan ombak dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam serta peralihan angin monsun Barat Daya yang diramal berterusan sehingga 15 Jun ini.
"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda,
Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada pelaut di sekitar negeri sebelah utara termasuk Kedah dan Perlis agar tidak keluar ke laut sehingga keadaan itu berakhir.
Seorang nelayan di Pantai Tanjong Bungah Salleh Ahmad, 42, berkata dia dan rakan-rakan tidak berani pergi ke tengah laut dan hanya berani menangkap ikan di persisiran pantai sejak beberapa hari lepas.
"Kami tidak berani pergi jauh untuk menangkap ikan kerana takut angin kuat dan ombak tiba-tiba mai (datang). Keadaan cuaca juga tidak menentu dan hujan lebat sudah beberapa hari turun di kawasan ini," katanya.
*************************
Ribut Petir Di Pulau Pinang TumbangkanTiang Antena Dari Bumbung Bangunan
GEORGE TOWN: Ribut petir bertiup kencang di Pulau Pinang mengakibatkan beberapa pokok tumbang dan menyebabkan banjir kilat pada Khamis.
Angin kencang yang bermula pada 7 malam telah menumbangkan tiang antena setinggi 40 meter di atas bangunan Umno 21 tingkat di Jalan Macalister.
Seorang dipercayai cedera dalam kejadian ribut itu. Pokok turut tumbang di beberapa tempat.
Di Tanjong Tokong, bumbung dilihat berterbangan dari rumah-rumah.
Jabatan Meteorologi berkata, ribut ini berlaku selama kira-kira satu jam dari pukul 7 malam.
Seorang lelaki cedera parah selepas tiang besar jatuh dari bangunan.Tujuh buah kereta dan sebuah lori rosak dalam kejadian itu.
Masalah itu turut dilaporkan di beberapa kawasan seperti Esplande, Weld Quay, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Masjid Negeri.