Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan telah menafikan dakwaan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mengenai dakwat kekal yang digunakan pada PRU13.
Sebelum ini, Abdul Aziz dan Ahmad mendakwa kandungan silver nitrate di dalam dakwat kekal dikurangkan demi kesihatan para pengundi.
Kandungan silver nitrate yang rendah di dalam dakwat kekal yang disapu pada jari pengundi telah disebut-sebut sebagai punca dakwat itu boleh dibasuh terus selepas digunakan.
Ditanya sama ada memang terdapat alasan perubatan untuk mengurangkan silver nitrate, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata: “Saya tidak pasti, anda perlu bertanya SPR soalan tersebut. Jika anda tanya sama ada mereka tanya kita untuk sebarang laporan, saya rasa tidak".
Subramaniam juga berkata tiada perbincangan dengan kementerian untuk mendapatkan laporan mengenai penggunaan dakwat kekal dari sudut perubatan.
“Jika mereka ada bertanya pada kita dan kita diberikan laporan, maka ia amat berlainan, tapi saya tidak rasa begitu…” tambah Subramaniam lagi.
Sebelum ini, Aziz mendakwa SPR telah mendapat satu surat daripada Kementerian Kesihatan yang memberikan amaran mengenai penggunaan silver nitrate yang berlebihan di dalam dakwat kekal yang boleh menyebabkan penyakit ginjal dan kanser.
Maslan pula mendakwa keputusan ditukar pada saat-saat akhir untuk merendahkan kandungan silver nitrate adalah untuk tujuan kesihatan.
“Ini adalah kali pertama saya mendengarnya,” kata Subramaniam ketika ditanya mengenai dakwaan Abdul Aziz dan Ahmad.