ARTIKEL SEBELUM

28/05/13

Tulisan yang mencerminkan kejahilan Zulkifli Noordin sistem politik Malaysia.

 

ULASAN Semalam Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Zulkifli Noordin dalam tulisan di Utusan Malaysia bertajuk 'Mitos undi popular PRU-13' telah menggunakan pertandingan badminton untuk menyangkal dakwaan Pakatan Rakyat tentang ketidakadilan sistem 'first-past-the-post' dalam pilihan raya di negara ini.

Beliau telah menghasilkan tulisan seperti yang berikut dan saya memetik:

“Bayangkan dalam pertandingan akhir badminton Piala All-Malaysia di mana Datuk Seri Najib Tun Razak menentang Anwar, keputusannya seperti berikut:
1. Set 1 - Najib 21 Anwar 19;
2. Set 2 - Anwar 21 Najib 03;
3. Set 3 - Najib 21 Anwar 19.

"Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57% daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104); sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!”

Tulisan ini mencerminkan kejahilan Zulkifli Noordin tentang ketidakadilan sistem politik Malaysia.

Saya terkejut kerana Zulkifli Noordin tergamak menggunakan pertandingan badminton sebagai tolok perbandingan. Memang itu peraturan pertandingan badminton tetapi adakah Zulkifli Noordin tahu bahawa pengadil dalam permainan badminton perlu berlaku adil dan saksama? Adakah beliau juga tahu bahawa kedua-dua pihak yang bertanding dalam pertandingan badminton sebenarnya bermain dalam gelanggang yang sama rata dan adil (level playing field)?

Sistem pilihan raya Malaysia telah kehilangan kedua-dua aspek yang sangat penting ini untuk memelihara keadilan dan kebebasan perjalanan pilihan raya. Memang Malaysia menggunakan cara 'first-past-the-post' seperti United Kingdom, tetapi masalah di Malaysia ialah perbezaan saiz sesuatu kawasan parlimen berbanding dengan sebuah yang lain adalah terlalu besar.

Contohnya ialah kawasan parlimen Hulu Selangor yang mempunyai lebih 80,000 orang pengundi sementara kawasan parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam hanya separuh daripada Hulu Selangor biarpun kesemua kerusi ini terletak di kawasan luar bandar.

Selain itu, Pakatan juga tidak diberi akses yang adil dan saksama oleh media aliran utama, khususnya media cetak, stesyen televisyen dan radio berbahasa Malaysia dan Inggeris. Ini menjadikan Pakatan menghadapi masalah untuk menyampaikan dasar-dasarnya kepada masyarakat luar bandar yang rata-ratanya bergantung kepada media cetak untuk mendapatkan maklumat tentang pilihan raya. Tidak perlu disebut pula masalah politik wang, pengundi-pengundi hantu dan masalah-masalah lain yang telah dan akan dibangkitkan oleh calon tertentu dalam petisyen pilihan raya mereka.

Bagaimanakah keadaan yang senget dan berat sebelah ini boleh dibandingkan dengan pertandingan badminton yang mempunyai peraturan yang jauh lebih adil? Barangkali hanya Zulkifli Noordin sahaja yang mempunyai jawapannya yang tersendiri sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak menerima bagaimana BN boleh memerintah Malaysia dengan hanya 47% undi sedangkan 51% pengundi telah memilih Pakatan.

souces Malaysiakini 

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud