Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Mohd Nazree Mohd Yunus dipanggil memberi keterangan di balai polis Seremban hari ini, berhubung himpunan Suara Rakyat Suara Keramat anjuran Pakatan Rakyat di Seremban, 17 Mei lalu.
Beliau memaklumkan didatangi sepasukan polis di rumahnya sehari selepas himpunan dan memintanya hadir ke balai polis Seremban untuk memberi keterangan.
“Saya meminta agar ditangguhkan ke hari Isnin. Namun pegawai polis bertegas kena hadir hari ini dengan alasan kertas siasatan mengenai kes ini akan dihantar ke Bukit Aman pada 20 Mei ini,” katanya
Nazree memberitahu, beliau ditanya beberapa soalan berkaitan himpunan itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 selama lebih dua jam“Saya tegaskan akan hanya menjawab di mahkamah. Mereka terus mencuba bertanya. Jawapan sama saya berikan,“Selepas lebih dua jam di soal siasat, saya dibebaskan,” katanya ditemani, Naib Ketua AMK negeri, Ramlan Roes dan 15 aktivis muda Pakatan Rakyat.
Pada 19 Mei lalu, Pakatan Rakyat mengadakan himpunan edisi Negeri Sembilan yang menyaksikan lebih 60,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Pusat Komersil Oakland, Seremban bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.
Siri himpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ Black 505 akan diteruskan di Kompleks Pas Kedah pada hari Selasa, 21 Mei, Terengganu (Khamis, 23 Mei) dan Melaka (Jumaat, 24 Mei).