.
PETALING JAYA 29 MEI: KEADILAN hari ini mendedahkan salinan laporan polis oleh dua saksi berhubung salah laku pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan peti undi awal.
Pengarah Strategi, Rafizi Ramli berkata, undi awal dan undi pos sememangnya diragui dan boleh dimanipulasi, sekaligus memungkinkan keputusan diseleweng bagi memenangkan calon BN.
“Keputusan undi awal di seluruh negara menimbulkan kecurigaan apabila calon-calon Pakatan Rakyat hanya mendapat sekitar 10 hingga 15 peratus undi awal, jauh lebih rendah dari tahap sokongan dalam PRU lepas iaitu sekitar 30 peratus,” jelas Rafizi.
“Saya tampilkan dua bukti pada hari ini untuk membuktikan bahawa integriti undi awal diragui,” katanya.Salinan laporan yang pertama dibuat di Balai Polis Masjid Tanah oleh ejen calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap (Genie Lim) yang mengiringi peti undi untuk disimpan di lokap simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
“Semasa saya bersama anggota rombongan yang mengiringi SPR membawa peti undi sampai ke lokap simpanan berkenaan, dan saya lihat sejumlah tujuh hingga lapan anggota SPR sedang mengira kertas undi,” kata saksi, Abu Hussin Tamby dalam laporannya.
Mengikut peraturan SPR, proses mengira kertas undi hanya akan dijalankan selepas pengundian ditutup dan disaksikan wakil parti yang bertanding.
Satu lagi laporan adalah berhubung peti undi awal yang tidak sampai ke tempat pengiraan undi pada masa yang ditetapkan.Menurut saksi, Shairi Md Tajudin yang membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Hulu, pada 5 Mei lalu berkata, karung undi pos tidak sampai ke Dewan Bandaran Gerik pada masa yang ditetapkan sehingga menyebabkan kiraan undi ditolak.
“Saya beranggapan ia adalah salahlaku yang disengajakan SPR bagi memberi kemenangan kepada BN di Parlimen Gerik dan DUN Pengkalan Hulu,” katanya dalam laporan tersebut.
“Kedua-dua kejadian membayangkan betapa longgarnya kawalan, seliaan dan integriti peti undi awal sehingga boleh hilang dan dibuka begitu saja,” kata Rafizi mengulas bukti tersebut.