ARTIKEL SEBELUM

7/05/13

Beri peluang Pas teraju Selangor - Dr Hasan Ali

SHAH ALAM - Kejayaan Pas menambah penguasaan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Selangor daripada lapan kepada 15 pada pilihan raya umum ke-13 semalam, membuktikan peningkatan pengaruh mereka di negeri itu berbanding dua sekutunya.

Perkembangan itu juga membuka peluang kepada Pas untuk mengetuai kerajaan negeri Selangor yang pada penggal lalu diteraju PKR. Berbanding Pas, PKR kali ini hanya menambah satu kerusi kepada 14, sementara DAP pula menang 15 berbanding 13 kerusi pada 2008.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata pakatan DAP-PKR-Pas di Selangor harus memberi peluang kepada Pas meneraju kerajaan negeri itu kali ini.

"PKR dah ada peluang lima tahun lepas, bagilah peluang kepada Pas. PKR kena berjiwa besar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Hasan yang pernah menjadi Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor sebelum dipecat daripada PAS pada Januari 2012, turut menggesa pakatan itu berpegang kepada semangat setiakawan.

Beliau merujuk kepada desas-desus jawatan menteri besar itu diintai oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hasan turut menyenaraikan nama-nama anggota dewan undangan negeri (Adun) Pas yang layak mengisi jawatan itu, antaranya Adun Sabak, Sallehen Mukhyi; Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan.

Sallehen, 46, ialah pendakwah bebas dan juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor manakala Mohd Khairuddin, 42, merupakan Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, dan Dr Ahmad Yunus, 48, ialah Yang Dipertua Pas Kuala Langat.

Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini hari ini memberitahu calon Menteri Besar Selangor akan ditentukan oleh pucuk pimpinan pakatan dalam masa seminggu ini.

"Soal pentingnya bakal calon MB (menteri besar) mesti diterima dan diperkenan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud