ARTIKEL SEBELUM

4/05/13

Anuar nafi keluar Pas, masuk Umno

  Anuar Azahari

SEREMBAN – Bekas Timbalan Pesuruhjaya Jaya Pas III Negeri Sembilan, Anuar Azahari menafikan dakwaan beliau keluar dari parti itu dan menyertai Umno.

Beliau berkata, berita yang tersebar termasuk menerusi laman sosial bahawa dia sudah menyerahkan borang keahlian Umno, hanyalah khabar angin dan tidak pernah berlaku.

“Itu adalah fitnah dan saya tidak pernah terfikir melakukan sedemikian kerana saya adalah ahli setia Pas. Tidak mungkin saya akan mengambil tindakan keluar daripada Pas dan masuk Umno," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Ketika ditanya mengenai majlis ceramah BN yang berlangsung di halaman rumahnya di kampung Pulau, Labu, malam kelmarin, beliau menjelaskan, program tersebut tiada kaitan dengannya, sebaliknya ia merupakan rumah anak perempuannya yang juga merupakan petugas BN di Dun Labu.

“Sepanjang ceramah itu berlangsung, saya tiada di rumah. Saya sendiri tidak tahu apa berlaku di ceramah tersebut.

“Walaupun Datuk Hasim (calon BN Labu) itu adalah anak saudara saya, itu tidak bermakna saya akan menyokong BN," katanya.

Bagaimanapun, Anuar berkata, selepas hari penamaan calon diumumkan 20 April lalu, beliau membuat keputusan melepaskan semua jawatan termasuk sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Rasah serta memaklumkan kepada pimpinan negeri menerusi e-mel.

“Saya hanya meletakkan semua jawatan dipegang sebelum ini kerana beranggapan pimpinan negeri tidak mengamalkan cara demokratik yang sewajarnya dalam soal pemilihan calon.

"Buat apa saya memegang jawatan sebagai YDP Pas Kawasan Rasah atau Timbalan Pesuruhjaya III sekiranya saya sendiri tidak dapat menjalankan tanggungjawab sepatutnya. Lebih baik saya letak jawatan dari saya sendiri mendapat malu,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pas negeri, Mohd Hasan Thamby berkata, Pas negeri masih belum menerima surat yang diserahkan sendiri Anuar berhubung peletakan jawatannya itu.

Menurutnya, pada peringkat awal, Anuar ada menyatakan hasrat melepaskan semua jawatan kerana mahu berehat.

"Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara tersebut akan dibincangkan selepas pilihan raya nanti," katanya.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud