KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa isterinya dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 sebagai respon kepada dakwaan nepotisme dalam PKR.
"Azizah mampu untuk memimpin parti semasa saya berada di dalam penjara. Beliau mengetuai parti tetapi memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya,"katanya semasa temubual secara langsung dengan Al-Jazeera petang semalam.
Jawapan Anwar ini memecahkan desas desus selama ini bahawa isteri beliau itu turut akan dicalonkan dalam pilihan raya umum ini.
Azizan dikatakan akan bertanding salah satu DUN di Selangor.
Ura-ura ini disambut oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan berkata Wan Azizah layak menjadi MB Selangor selepas ini.
Namu begitu ia dilihat negatif oleh beberapa pihak kerana Anwar dan anaknya Nurul Izzah Anwar sudah cukup untuk bertanding.
Anwar yang dilaporkan akan bertanding di Perak kali ini bagi melebarkan jangkauan pengaruhnya selepas bertapak di Permatang Pauh sejak sekian lama.
Namun sehingga kini Anwar masih belum tentukan kerusi manakah beliau akan bertanding.
Nurul Izzah pula disebut Anwar sebelum ini akan kekal di Lembah Pantai walaupun pelbagai pihak bimbang Nurul akan kalah kali ini.
Ini kerana, Umno berusaha keras untuk menawan kerusi itu termasuk memindahkan ramai pengundi Melayu yang berhampiran ke Lembah Pantai.
Antara mangsanya adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang turut akan mengundi di Lembah Pantai selepas mengundi di Selangor sebelum ini.