KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong di Perak, Yew Tian Hoe hari ini mengumumkan keputusan menarik diri sebagai calon Bebas untuk kerusi berkenaan.
"Keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa menerima tekanan atau bayaran daripada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ditanya sama ada DAP bersedia memaaf dan menerima kembali Yew, Lim berkata keputusan mengenainya akan dibuat selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-13.
Berikutan perkembangan itu, kerusi DUN Aulong yang mempunyai 28,440 pengundi akan menyaksikan pertandingan antara Leow Thye Yih dari DAP dan calon Barisan Nasional, Soo Kay Ping.
Pada pilihan raya umum 2008, Yew memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,808 undi.
-- BERNAMA