ARTIKEL SEBELUM

23/04/13

PAS P Pinang akur serah Sungai Acheh kepada PKR

PULAU PINANG: PAS Pulau Pinang akur dengan keputusan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Acheh kepada PKR seperti mana yang telah diputuskan oleh PAS Pusat hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Saleh Man berkata, memandangkan persetujuan telah dicapai oleh kepimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat, maka semua pihak harus akur dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu juga katanya, jentera parti PAS dan PKR harus bergerak bersama dengan satu matlamat iaitu memastikan BN tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU13) kali ini.

"Saya sudah jalankan tanggungjawab bersama kepimpinan PAS Negeri untuk memastikan Dun tersebut ditandingi PAS. Tetapi, ia adalah keputusan pihak tertinggi dalam PAS yang tentunya mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi," ujarnya pada sidang media petang ini sambil menasihatkan semua pihak menerima keputusan tersebut.

Bagaimanapun, beliau turut menyeru agar pimpinan PAS Pusat segera turun padang bagi menjernihkan kekeruhan yang berlaku dan menjelaskannya khususnya kepada jentera dan anggota parti di Dun berkenaan.

"PAS Pusat sendiri perlu datang untuk menenangkan keadaan dengan menyatukan semua pihak terutamanya kedua-dua parti gabungan PR ini agar bersama menghalakan senapang ke arah musuh, dan bukan sesama sendiri yang akhirnya membawa kerugian kepada jemaah," katanya.

Kerusi Dun Sg Acheh adalah antara tujuk kerusi menyaksikan berlakunya pertindihan calon PAS dan PKR pada hari penamaan calon kelmarin.

Pagi tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu sidang media mengumumkan cadangan PAS untuk menyerahkan kerusi Dun Sg Acheh kepada PKR.

Dua lagi kerusi yang turut diserahkan kepada PKR adalah Parlimen Labuan dan Dun Panti di Johor.

Sebagai timbal balas, PKR pula dicadangkan agar menyerahkan tiga Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera kepada PAS.

Manakala kerusi Dun Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara PAS dan PKR.

Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri.

Dengan keputusan terbaru itu, kesemua kerusi tersebut bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calaon Pakatan Rakyat dengan calon BN.

Harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud