KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu penajaan persembahan Park Jae-sang (Psy) di Pulau Pinang baru-baru ini yang dilihat seperti mahu disembunyikan.
Naib ketuanya Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kenyataan daripada Scooter Braun Projects, iaitu syarikat pengurusan bintang popular dari Korea Selatan itu bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat bayaran atas persembahan tersebut menimbulkan tanda tanya.
"Umum mengetahui bahawa bayaran yang dikenakan kepada PSY hampir mencecah RM 2 Juta, siapakah penaja bayaran tersebut? Siapakah individu atau syarikat yang begitu ‘pemurah’ bagi membantu BN Pulau Pinang untuk membawa PSY di sana?
"Jika ianya sebuah syarikat, adakah pihak kerajaan telah memberikan beberapa projek lain bagi ‘habuan’ tersebut," soalnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi, Psy atau Park Jae-Sang, telah ditawarkan 'harga tetap' sebanyak AS$500,000 (atau RM1.5 juta) untuk mempersembahkan lagu hitnya 'Oppa Gangnam Style' di majlis tersebut.
BN, bagaimanapun, menegaskan ia tidak membiayainya, sambil menambah bahawa "kita tidak membayar satu sen pun" untuk persembahan bintang sensasi dunia itu.
Ianya sekaligus menimbulkan tanda tanya pihak mana yang sudi membiayai program anjuran BN itu.
Sehingga kini masih belum ada mana-mana pihak tampil membuat pengakuan berhubung penajaan persembahan yang mendapat reaksi bercampur-campur dari rakyat negara ini.
Mega Ultimate, syarikat yang sebelum ini dikatakan membayar persembahan bintang pop Korea itu juga terus membisu.
Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, rakyat kebanyakan melihat kos hampir RM2 juta untuk persembahan lapan minit itu sangat besar jika dinilai dengan keperluan mendesak rakyat.
"Oleh yang demikian, pihak kami mendesak agar SPRM menyiasat jika ada unsur-unsur rasuah kepada mereka yang terlibat menganjurkan persembahan tersebut khasnya.
"Kami juga mendesak agar didedahkan siapakah penyumbang atau penaja RM 2 Juta tersebut bagi membuat bayaran kepada PSY, dan sudah tentu apakah kepentingan penyumbang atau penaja tersebut terhadap Kerajaan," katanya.