ARTIKEL SEBELUM

9/02/13

AG arah beku harta Amalilio, suspek kes tipu RM895j

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan pihak berkuasa Malaysia untuk memeriksa dan membekukan semua rekod kewangan serta aset seorang suspek dalam kes penipuan membabitkan RM895 juta di Filipina.
    
Beliau berkata Jabatan Peguam Negara komited membantu semua pendakwaan dalam sebarang kes jenayah tanpa mengira kerakyatan.
    
"Semalam, Pejabat Peguam Negara menerima permintaan rasmi daripada Jabatan Keadilan Filipina bagi Bantuan Perundangan Bersama hal berkaitan jenayah.
    
"Permintaan ini sedang diurus oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.
    
Abdul Gani berkata pada Rabu, satu mesyuarat berlangsung di pejabatnya antara beliau dan Timbalan Menteri Jabatan Keadilan Filipina Jose Vicente B. Salazar, Duta Besar Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya, Setiausaha Pertama Kedutaan Filipina di Malaysia Maria Antonina Oblena dan Atase Politik Kedutaan Filipina di Malaysia Joy Calip.
 
NONE
"Pada mesyuarat itu, Salazar meminta suspek diekstradisi ke Filipina untuk berdepan pertuduhan jenayah dan satu perintah pembekuan ke atas aset, simpanan dan pelaburan milik suspek serta mereka yang berkaitan dengannya," katanya.
    
Terdahulu, laporan awal menyebut suspek, Muhammad Kamal Sa'aid aka Mohamad Sufian Saaid atau Manuel Karingal Amalilio (kiri), adalah dalam senarai orang yang dikehendaki oleh kerajaan Filipina kerana disyaki terlibat dalam satu kes penipuan membabitkan RM895 juta menerusi skim cepat kaya.
    
Apabila kerajaan Filipina mengarahkan suspek ditahan pada November lepas, dia melarikan diri ke Sabah.
    
Media turut melaporkan Amalilio ditahan pada 22 Jan lepas di Ranau, Sabah dan polis Malaysia mendapati suspek berada dalam senarai orang yang dikehendaki oleh kerajaan Filipina.
    
Pihak berkuasa Filipina kemudian menghantar satu pasukan ke Sabah bagi membawa pulang Amalilio untuk berdepan pertuduhan di negara itu.
    
Bagaimanapun, 10 minit sebelum Amalilio dan ejen dari Biro Siasatan Kebangsaan Filipina menaiki pesawat ke negara itu, polis Malaysia menahan mereka.
   
Ini kerana siasatan mendapati pasport Filipina yang dimiliki suspek adalah palsu dan hakikatnya, dia rakyat Malaysia.
    
Sehubungan itu, penghantaran suspek ke Filipina perlu dilakukan selaras Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.
    
Abdul Gani berkata pada 25 Jan lepas, Amalilio ditahan polis Malaysia di terminal dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah kerana memiliki pasport asing palsu.
    
Beliau berkata penahanan itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 12(1)(d) Akta Pasport 1966.
    
"Selepas itu, Amalilio yang didakwa pada 4 Feb lepas, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret pada hari sama," katanya.
    
- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud