(Aliff Fikri)
KLANG 22 FEB: Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang disambut meriah dengan plakad ‘Anwar PM ke-7′.
Ketua Umum KEADILAN itu tiba ketika Tan Sri Khalid Ibrahim sedang berucap sekitar jam 11 malam sebelum Menteri Besar Selangor itu mengumumkan ketibaan Anwar.
Berikutan itu, rakyat baik Melayu, Cina dan India menjulang plakad berkenaan dengan disertai gema sorakan sebelum Anwar bergambar kenangan dan memulakan ucapan.
Plakad itu disediakan atas inisiatif Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri yang diedar kepada sebahagian dari lebih 5,000 hadirin.
Turut berucap pada program itu ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.
Anwar pada 17 Februari lalu disambut dengan plakad yang asalnya disediakan untuk Datuk Seri Najib Razak tetapi orang ramai mengubahsuaikannya kepada ‘I Love (New) PM’.
Ia berlaku pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kolej New Era di Kajang yang dihadiri Najib secara berasingan.