ARTIKEL SEBELUM

28/01/13

Rafizi nafi mohon maaf, lawan di mahkamah

 



PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) menafikan beliau ada memohon maaf kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi bahkan beliau akan bertemu di mahkamah dengannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan maaf. Saya tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di mahkamah," kata Rafizi dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Rafizi, beliau dimaklumkan bahawa laman-laman Facebook yang berkaitan dengan beliau ada menyiarkan satu kenyataan maaf terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi sekitar jam 7 petang ini.

Sejurus selepas itu juga, laman-laman blog pro-Umno menyiarkan berita melaporkan kononnya kenyataan maaf tersebut.


Bagi beliau, kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.


"Saya tidak akan berganjak dari terus membawa soal salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia," kata Rafizi.

Katanya, apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan laman Facebook.

"Laman Facebook saya adalah yang kedua dalam tempoh dua hari yang digodam, selepas laman Facebook YB Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN," katanya.

Ini juga, katanya, rentetan kepada siri godaman terhadap laman Malaysiakini setiap kali ada perkembangan politik penting negara yang merugikan Umno/Barisan Nasional.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan oleh cybertrooper Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah," katanya.

Sikap pimpinan Umno yang berdiam diri menunjukkan mereka juga sama-sama mendokong muslihat dan tipu helah kotor ini, katanya.

"Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Datuk Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah.

"Isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota angkatan tentera yang diabaikan tidak boleh dipadamkan dengan muslihat jahat dan tipu helah cyber seperti ini," tegasnya.-

harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud