(Oleh: Aisya Geofrey)
PETALING JAYA 7 Dis: Pakatan Rakyat menawarkan kaedah penjimatan sehingga RM3.47 bilion setahun daripada bayaran dibuat Tenaga Nasional Berhad kepada syarikat penjana tenaga bebas (IPP).
Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen berkata, kaedah itu akan digunapakai jika Pakatan memerintah selepas pilihan raya umum nanti.
Ia katanya dapat dicapai menerusi rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara IPP dan TNB, serta pengurangan rizab margin tenaga elektrik.
Dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini, Wong Chen berkata, pada masa ini kadar pulangan atas pelaburan (ROI) adalah sebanyak 19 peratus berbanding kadar munasabah yang ditawarkan Pakatan iaitu 10 peratus.
Katanya, jika kadar ROI bagi PPA dirunding semula pada kadar 10 peratus, TNB dapat menjimatkan bayaran kapasiti kepada IPP sehingga RM2.6 bilion.
Selain itu, katanya, pada masa kini, rizab margin kuasa adalah pada tahap 38 peratus di mana bagi setiap 1 peratus, sejumlah RM483 juta hilang sebagai pelaburan terkandas (stranded investment).
Justeru katanya, Pakatan mencadangkan agar rizab margin diuruskan pada kadar optimal 20 peratus.
“Pengurangan 18 peratus rizab margin bermakna penjimatan pelaburan terkandas sebanyak RM8.7 bilion. Dengan bayaran kapasiti pada kadar 10 peratus ROI, TNB dapat menjimatkan sebanyak RM870 juta setiap tahun,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan penjimatan keseluruhan RM3.47 bilion, TNB boleh mencapai keuntungan RM5.61 bilion setahun berbanding purata keuntungan tahunannya RM2.14 bilion.
“Keuntungan lebih tinggi ini boleh digunakan untuk mengurangkan hutang TNB yang kini mencecah RM23.1 bilion, paling penting dengan adanya keuntungan itu, TNB tidak perlu menaikkan tarif elektrik pengguna,” jelasnya.