ARTIKEL SEBELUM

13/12/12

Terdesaknya MCA: Isu Salon Rambut

 
 


Saya melihat beberapa isu yang yang sedang hangat diperbahaskan dalam media arus perdana berhubung ‘usaha memaksa Islam ke atas orang bukan Islam’ sebagai sesuatu yang menggambarkan betapa terdesaknya MCA. Ianya adalah bukti yang kukuh bahawa MCA ketandusan isu untuk diguna-pakai sebagai bukti ‘kezaliman’ PAS. Saya telah mengulas kedua-dua isu ini di khalayak ramai, khususnya di hadapan masyarakat Tiong Hua dan pada masa ini saya rasa ianya amat sesuai untuk dikupaskan di Blog saya.

Saya dimaklumkan bahawa setelah mengambil alih tampuk kekuasaan di Kelantan pada 1990, kerajaan PAS telah mengadakan beberapa perbincangan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Local Authority berhubung isu-isu pentadbiran Bandar-bandar di seluruh Negeri Kelantan. Di peringkat Kota Bharu, perbincangan ini telah melibatkan masyarakat bukan Islam dan kumpulan-kumpulan keagamaan selain Islam. Hasil dari perbincangan itu maka beberapa garis panduan pentadbiran telah diputuskan. Di antaranya adalah persoalan salon rambut unisex. Telah dipersetujui bahawa lesen salon unisex tidak perlu lagi dikeluarkan dan salon gunting rambut mulai 1991 adalah kesemuanya untuk lelaki atau untuk perempuan.

Ini merupakan keputusan yang dikuat-kuasakan sejak 1991 dan semenjak itu tiada kedengaran apa-apa rungutan. Tiba-tiba menjelang PRU ke 13, timbul kekecohan kerana ada salon yang bertindak secara unisex atau untuk wanita dan lelaki yang telah disaman. Ianya pula dikupas dari sudut keagamaan iaitu norma dan akhlak Islam yang ingin dipaksa ke atas yang bukan Islam! Sedangkan ianya tiada kena-mengena dengan Jabatan Agama Islam Kelantan dan sebaliknya hanya penguat-kuasaan peraturan PBT yang telah diputuskan bersama sejak 1991.

Sebenarnya, seperti yang telah disebut oleh TGHH dan TGNA, PAS tidak berniat untuk memaksa nilai-nilai dan akhlak Islam ke atas yang bukan Islam. Ianya hanya peraturan PBT dan jika yang bukan Islam sekarang ini menganggap ianya suatu keperluan dan hak mereka maka apa yang perlu dilakukan ialah untuk mengusulkan pindaan peraturan PBT di PBT berkenaan. Kerajaan Kelantan memberi kommitmen bahawa mereka bersedia untuk mempertimbangkannya.

Apabila tidak dilesenkan dan diiklankan sebagai salon unisex maka akan timbul masalah bagi wanita Islam yang pergi ke salon tersebut. Setelah membuka tudung mereka dengan kefahaman ianya bukan salon unisex maka sudah pasti akan berlaku kekacauan sekiranya tiba-tiba datang masuk seorang lelaki! Maka dalam keadaan itu amatlah penting supaya salon unisex dilesenkan dan diiklankan sebagai salon unisex supaya keadaan sedemikian tidak timbul. Kalau tidak, maka hak pelangan Islam supaya mereka mendapat suasana yang khas hanya untuk wanita, supaya mereka boleh membuka tudung mereka, tidak akan dipenuhi.

Ke arah itu maka pihak yang berminat perlu memohon kepada PBT berkenaan dan keinginan mereka dijelaskan oleh ahli majlis di zon berkenaan supaya akhirnya peraturan berhubung salon unisex dapat dihasilkan untuk diguna-pakai apabila meluluskan mana-mana permohonan untuk membuka salon unisex.

Ada pula kedengaran rungutan bahawa sekiranya diiklankan sebagai salon unisex maka ramai dari pelangan mereka, 80% darinya adalah wanita Muslim, tidak akan lagi datang ke kedai mereka. Itu merupakan masalah lain. Dalam bahasa Inggeris dikatakan “You can't have your cake and eat it too” atau anda tidak boleh simpan dan juga makan kek pada masa yang sama. Dalam erti-kata lain, pihak operator salon kenalah membuat pilihan, dia tidak boleh menjadikan salonnya unisex supaya mendapat pelangan lelaki dan pada yang sama khas untuk wanita untuk mendapat pelangan wanita Islam!

Yang penting, ini persoalan undang-undang PBT dan BUKAN Jabatan Agama Islam. Maka persoalan memaksa nilai dan akhlak Islam ke atas masyarakat bukan Islam tidak timbul. Saya akan mengulas isu kedua berhubung bukan Islam ditangkap khalwat pada sebelah petang nanti Allah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud