ARTIKEL SEBELUM

4/12/12

Perbahasan Twitter Dengan Fathul Bari: Sejarah Latarbelakang Kenyataan Karpal “Langkah Mayat Saya Dulu”

Setelah dibentangkan hujjah berhubung 2 isu utama perbahasan saya dengan Fathul Bari, saya dapati dia masih belum mampu memberi jawapan balas. Walaubagaimanapun, saya difahamkan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan bagi dirinya. Oleh itu saya akan teruskan dengan hujjah saya untuk menangkis tuduhan-tuduhannya sebelum ini. Isu ketiga yang ingin saya jelaskan ialah latar belakang kenyataan Karpal.

Dalam kita menilai sejauh mana seriusnya kenyataan Karpal dewasa ini, perlu kita mengambil kira keadaan dan suasana apabila Karpal mengeluarkan kata-kata “over my dead body” tersebut. Ianya berlaku pada tahun 1990 sebelum adanya sebarang interaksi serius di antara DAP dan PAS.

Sepertimana yang diketahui, PAS telah bersama Keadilan dan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) sebelum adanya PR hanya pada tahun 1998. Dalam PRU 1999, undi DAP jauh merosot dan ini, mengikut analisa mereka, adalah disebabkan hubungan DAP dengan PAS melalui BA. Oleh itu DAP pada tahun 2002 menuntut supaya PAS menggugurkan agenda Islamnya atau DAP akan keluar dari BA. PAS menolak permintaan tersebut dan DAP keluar.

Pada tahun 2008, PAS bersama PKR sebagai BA telah membuat ‘election pact’ atau persetujuan semasa pilihan raya bersama DAP. Persetujuannya adalah untuk mengelak berlakunya pertandingan 3 penjuru. Dalam ertikata yang lain, di mana ada calon PR menentang calon BN, DAP tidak bertanding dan begitu juga sebaliknya.

Setelah mengetahui keputusan PRU ke 12, didapati BA bersama DAP boleh membentuk kerajaan di beberapa Negeri. Pada masa itu baru PR dibentuk. Dalam PR ianya dipersetujui, setiap parti berhak berpegang dan mengusahakan agenda parti sendiri di atas nama parti masing-masing tetapi apa yang diterima sebagai agenda PR mesti dipersetujui ketiga-tiga parti.

Ini bermakna PAS bebas mengusahakan agenda PAS di atas platform PAS tapi bukan atas platform PR. Begitu juga dengan DAP dan PKR. Dalam keadaan ini diamalkan dasar ‘agree to disagree’ atau ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ yang pada hakikatnya merupakan sebahagian dari prinsip demokrasi yang diamalkan dalam politik gabungan atau ‘coalition politics’. Dalam keadaan ini, PAS tidak lagi dituntut untuk menggugurkan agenda Islamnya sebelum DAP turut bersama dalam PR.

Maka, walaupun pendirian Karpal secara peribadi tidak banyak berubah, namun dia tidak lagi mengeluarkan pendirian yang sekeras itu terhadap apa yang diusahakan PAS. Ketidak-setujuan beliau dijelaskan melalui hujjah dan saya pun telah memberi respon saya sebelum ini di dalam tulisan saya; Hudud: Di Antara Karpal dan UMNO. Yang penting, walaupun beliau tidak setuju dengan agenda yang ingin dibawa PAS, beliau mengakui hak PAS untuk memperjuangkan dasar dan keyakinan PAS sendiri.

Sikap ‘demokratik’ yang sebegini tidak ditunjukkan sama sekali oleh MCA dan CSL. Dimana secara jelas MCA dan CSL telah memberi kata dua kepada UMNO bahawa sekiranya UMNO ingin membawa agenda Islam, khususnya perundangan hudud, maka MCA akan keluar dari BN.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud