KUALA LUMPUR: Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyegerakan siasatan terhadap pendedahan Deepak Jaikishan.
Penyiasatan segera itu perlu dilakukan tanpa menunggu sebarang laporan polis atau aduan kepada kedua-dua badan tersebut.
Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata bagaimana satu pendedahan yang dibuat terhadap Perdana Menteri Malaysia boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang siasatan.
"Tidak perlu tunggu ada laporan polis atau aduan dibuat kepada PDRM atau SPRM. Ia membabitkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sepatutnya pendedahan itu perlu segera disiasat." tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Batu, berkata isunya kini adakah pihak berwajib seperti PDRM dan SPRM bersedia menyiasat dakwaan yang didedahkan Deepak atau bertindak sebaliknya.
Tambah beliau, sama ada pendedahan Deepak itu benar atau sebaliknya, menjadi tanggungjawab PDRM dan SPRM menyiasatnya bagi memberikan gambaran jelas terhadap rakyat.
"Jika pendedahan Deepak itu tidak benar, ambil tindakan terhadap beliau. Jika benar, ambil tindakan sepatutnya. Siasat dahulu pendedahan tersebut. Itu yang kita mahu," kata beliau lagi.
Katanya, pendedahan yang dilakukan Deepak itu sudah dibicarakan secara terbuka, dan PDRM dan SPRM perlu mengambil langkah proaktif bagi menjaga nama baik perdana menteri.
Justeru, beliau menggesa kedua-dua agensi itu bertindak segera menyiasat pendedahan Deepak tersebut.
Sebelum itu, Tian pada sidang media pagi tadi menggesa siasatan dilakukan terhadap lima individu yang berkaitan dengan pendedahan usahawan karpet itu.
Beliau menamakan lima individu itu ialah Deepak sendiri, penyiasat persendirian, P Balasubramaniam; adik Najib, Nazim Razak; dan dua peguam, Tan Sri Cecil Abraham serta M Arulampalam.
Beliau beranggapan pendedahan terbaru ini serius kerana ia mengaitkan mereka yang terlibat dalam penarikan pengakuan sumpah (SD) kedua oleh Balasubramaniam.
Menurut Chua, mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 107 Kanun Keseksaan atau Seksyen 120a jenayah terancang atau Seksyen 191 pemalsuan bukti di bawah Akta Pengakuan Bersumpah 1960.
Harakahdaily