KOTA BHARU: Lima bas disewa khas di mana dua berwarna biru dan tiga lagi bas pelancong digunakan bagi mengangkut peserta demontrasi anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di perkarangan pejabat Mara pagi tadi.
Sebahagian wanita berpakaian tudung merah, seperti pakaian seragam Wanita Umno. Rata-rata berhujah yang hadir tidak sampai 1,000 orang, kebanyakannya warga emas.
Golongan muda hanya boleh dibilang dengan jari, mereka berada di satu penjuru pentas pidato (anak lori). Peserta yang tua berada di bawah bayangan pokok dan ruang parkir.
Biar pun pengerusi pada perhimpunan itu yang dikenali sebagai Ghazali memberitahu 5,000 hadir, agensi berita pula menulis 4,000. Namun rata-rata yang ditemui termasuk wartawan memberitahu tidak sampai 1,000 orang.
Perhimpunan itu mengundang kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Kelihatan ramai anggota dan pegawai polis.
Anak muda yang lalu lalang hanya memerhati dari jauh kecuali difahamkan yang diupah dengan diangkut datang dari luar Kota Bharu.
Pidato pemimpin Umno yang berselindung di sebalik pelbagai nama NGO mengulangi apa yang dipaparkan dalam media Umno.
“Tidak ada isu yang menarik untuk didengar kecuali maki hamun sehingga menggelarkan pemimpin ulama PAS sebagai celaka.
“Paling menjelik dan memalukan rakyat Kelantan apabila bekas Ketua Penerangan Umno, Mohd Nor Deris menjerit-jerit seperti budak tadika di atas pentas,” ujar seorang wartawan.
Seorang pemimpin masyarakat dari Kampung Kasa, Pasir Mas pada awal memerhati gelagat pemimpin MRTK dan Perkasa, akhirnya melangkah pergi ketika Ustaz Nor Deris berucap.
Ramai juga warga emas mulai melintas jalan meninggalkan parkir Mara ketika seorang peguam yang dikenali sebagai Adli berucap.
Makcik yang datang berkumpulan bertengek di birai parkir mengeleng-ngeleng kepala beberapa kali mendengar ucapan Ustaz Shamsul, wakil Minda Pondok.
Banner mengecam kerajaan negeri dan PAS digantung di tepi jalan berhadapan kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Bekas Adun BN Tendong, Fauzi Mohamad pula mendakwa Bazar Tok Guru yang menempatkan peniaga dari Pasar MPKB hanya hantu yang datang membeli.
Katanya orang Melayu di Kota Bharu tidak ada tempat hendak berniaga.
“Perkasa wujud kerana kerajaan BN yang ada sekarang lemah bagi memperjuangkan nasib rakyat,” katanya yang juga Yang Dipertua Perkasa Kelantan.
Harakahdaily.com