Hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang melangkaui sempadan geografi. Persaudaraan antara dua negara berteraskan ikatan saudara serumpun yang akrab dari sudut budaya dan juga agama.
Hubungan kedua-dua negara ini adalah manifestasi kepada sikap saling hormat-menghormati dan kesedaran bahawa kita punya akar budaya yang mengikat antara satu sama lain di samping faktor ekonomi.
KEADILAN tidak terkejut dengan kenyataan Zainuddin Maidin yang dangkal dan bersifat fitnah keji terhadap YTH Bapak B.J.Habibie, mantan Presiden Republik Indonesia dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti dalam rencana yang ditulis beliau dalam akhbar Utusan Malaysia, 10 Disember 2012 bertajuk ‘Persamaan B.J. Habibie dengan Anwar Ibrahim’.
Apatah lagi rencana tersebut datang daripada seorang yang sudah bergelumang dan dibesarkan dalam akhbar Utusan Malaysia; akhbar picisan milik Umno yang tidak langsung menjana pemikiran rakyat secara intelek tetapi sentiasa menjadi alat untuk menghambur fitnah dan cerca. Adalah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa Zainudin Maidin ini sedang menghidap Sklerosis Intelek yang kronik sebagaimana sebahagian besar pimpinan Umno yang lainnya.
Malah sikap yang dinyatakan oleh beliau adalah budaya politik lazim Umno yang hanya akan menyerang keperibadian individu dan menabur fitnah yang tiada batasannya. Rencana Zainuddin Maidin adalah amat memalukan lantaran beliau menggambarkan prasangka keji kepimpinan Umno terhadap negara Indonesia.
KEADILAN mengecam keras kenyataan Zainuddin Maidin yang akan mempersulit hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
YTH Bapak B.J. Habibie adalah seorang reformis dan intelektual bangsa yang berjaya mengubah hala tuju pentadbiran negara ke arah sebuah sistem yang demokratik dengan memerdekakan rakyat dari belenggu pemikiran dan hegemoni yang sempit.
Sebagai seorang negarawan, beliau juga seorang yang peduli rakyat dan memiliki semangat setiakawan yang luhur. Saya sendiri menyaksikan secara dekat betapa Bapak B.J. Habibie dan isterinya, Almarhumah Ibu Ainun begitu prihatin semasa Dato’ Seri Anwar semasa menjalani rawatan di Munich, Jerman pada tahun 2004. Hal ini menjelaskan betapa akrab hubungan keluarga kedua-dua tokoh yang turut memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
Justeru KEADILAN mendesak Zainuddin Maidin memohon maaf secara terbuka kepada kedua tokoh ini dengan segera. Kepimpinan Umno juga perlu tegas menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf di atas sikap keterlaluan dan keji yang digambarkan melalui kenyataan tersebut
Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN