Satu konvoi yang diketuai pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman dilaporkan disekat oleh sekumpulan individu ketika cuba memasuki kawasan Felda Lasah di Sungai Siput, Perak.
Laman Harakahdaily melaporkan, Mazlan turut dikasari oleh beberapa orang individu dalam kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu.
“Kemungkinan lebih dari 100 orang yang menghalang dan mengepung kenderaan kami dan jumlahnya bertambah ramai.
“Kebanyakan mereka memakai baju berlogo Umno dan BN,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.
Gambar yang disiarkan bersama laporan itu menunjukkan sekumpulan individu berhimpun di antara beberapa buah kenderaan di atas sebatang jalan.
Ia juga menunjukkan kumpulan tersebut membawa bendera BN dan juga poster yang tertera slogan "Mazlan Aliman jangan rosakkan masa depan Felda".
Laman itu juga melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang anggota polis turut berada di tempat kejadian.
Dilaporkan, konvoi bersama 20 kenderaan dalam program Kembara Oren Selamatkan Felda – satu acara anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Perak dengan kerjasama ANAK.
Program yang mensasarkan golongan peneroka itu, menurut Harakahdaily, bertujuan memberi penerangan mengenai isu berhubung Felda.
ANAK sebelum ini giat mengadakan siri bantahan ke atas usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding ke Bursa Malaysia.
NGO berkenaan juga mengadakan satu perhimpunan disertai 5,000 orang pada pertengahan Julai lalu bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung usaha penyenaraian tersebut.