Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Dr Badrulamin Bahron didakwa ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu acara dianjurkan bekas pengikut Al-Arqam di Rawang.


Akhbar Utusan Malaysia mendakwa, Badrulamin merupakan tetamu khas bagi majlis sambutan ulang tahun kelahiran pengasas pergerakan itu, Ashaari Muhammad itu.


NONE
Laporan itu menyebut, beliau merupakan antara beberapa individu yang ditahan dalam serbuan ke atas majlis konsert bertemakan "Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib" itu.



Sumber yang dipetik dalam laporan itu berkata, konsert berkenaan didapati "membantu menghidupkan fahaman Al-Arqam" dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor.



Dalam operasi ke atas majlis yang dihadiri kira-kira 3,500 orang malam tadi, JAIS turut merampas kain rentang dengan tulisan yang didakwa "cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam", lapor Utusan.



Golongan pengikut Al-Arqam membangunkan entiti korporat kumpulan Global Ikhwan Sdn Bhd bagi mempertahankan empayar perniagaan Ashaari, selepas pergerakan itu diharamkan pada 1994.



Syarikat tersebut diasaskan pada 2009 selepas pihak berkuasa mengenakan tekanan ke atas Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh kumpulan sama pada 2006.



Ashaari meninggal dunia pada 13 Mei 2010.