KUALA LUMPUR 30 November: Hakim Mahkamah Perancis mengesahkan sepina untuk saksi kedua kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene akan dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi, kata Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.
Menurutnya, kemungkinan besar sepina tersebut akan dikeluarkan sama ada kepada Razak Baginda atau Perdana Menteri, selepas sepina pertama kepada Jasbir Singh Chal Jun lalu.
Jasbir merupakan individu yang dikatakan berperanan penting dalam pembelian kapal selam itu.
“Nama saksi hanya akan diumum selepas (sepina) keluar. Tetapi pada masa sama, kita tahu ada tiga saksi yang diutamakan iaitu Jasbir, Razak Baginda dan Datuk Seri Najib Razak,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau menjelaskan demikian pada majlis pelancaran buku kartun terbaru kartunis Zunar bertajuk ‘Hikayat Pak Monggol dan Scorpene’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.
Nama lain yang turut disenarai Suaram sebagai saksi utama kes ini adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, bapa Altantuya, Dr Shaariibu Setev dan ahli korporat, Lodin Wok Kamaruddin.
Peguam Scorpene, Apoline Cagnat dalam taklimatnya di Singapura Selasa lalu turut menyatakan Najib dan Razak Baginda menjadi fokus utama untuk disepina.
Beliau yang merupakan rakan sejawat William Bourdon memberi taklimat berhubung kes ini kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan pengamal media selepas dihalang berbuat demikian di Parlimen Malaysia.