PARIT BARU - Ketua Umum PKR meminta penduduk kawasan ini memberi sokongan kepada bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu demi memastikan kemenangan parti berkenaan, sekali gus memenuhi matlamat mengambil alih pucuk pimpinan Parlimen Sabak Bernam.
“Berilah sokongan sepenuhnya kepada Abdul Aziz kerana ini peluang terbaik bagi mengubah pimpinan di Parlimen ini.
“Sokongan dan kerjasama setiap bangsa penting sebagai salah satu langkah bagi memastikan kemenangan parti pada PRU13 akan datang,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Merdeka Rakyat ke Sabak Bernam, kelmarin.
Dianggarkan sekitar 2,000 hadir memberikan sokongan Jelajah Merdeka Rakyat dan mendengar ceramah berkenaan walaupun terpaksa berhujan.
Menurut Anwar, rakyat dilihat sudah bijak menilai dan mahukan perubahan pucuk pimpinan negara ini, terutama dalam membanteras gejala rasuah.
“Saya yakin ramai penduduk yang inginkan perubahan dan itu akan memastikan mereka memilih pemimpin yang bersih serta tidak terjebak dengan rasuah,” katanya.
Beliau mendakwa, Kerajaan Pusat dilihat mengawal media di negara ini, berikutan mereka takut dengan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan kepimpinan negara.
Anwar berkata, pelbagai pendekatan digunakan pihak berkenaan dalam memastikan mereka dapat mengawal media supaya pelbagai spekulasi dapat dikeluarkan menerusi rangkaian itu.
“Banyak media di negara ini dikawal kerajaan, namun kita tidak gentar kerana mereka tidak dapat mengawal fenomena kebangkitan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menjelaskan pembabitan anak muda dalam parti penting dalam menentukan kejayaan parti.
"Kerjasama anak muda sedikit sebanyak membantu memastikan negara ini mempunyai pucuk pimpinan yang adil serta saksama, di samping menolak agenda rasuah serta salah guna hak rakyat," katanya.- Sinar Harian