ARTIKEL SEBELUM

6/10/12

PRU13: Kedah sedia terima Mat Sabu

ALOR SETAR - Pas Kedah tidak menolak kemungkinan besar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bertanding sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Kedah.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tidak mustahil Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu kembali bertanding di Kedah, memandangkan sebelum ini beliau pernah menang PRU 1999 di negeri ini.

“Ada kemungkinan besar beliau bertanding di Kedah, namun terpulang kepada Pusat untuk putuskan. Jika benar beliau berminat jadi calon di Kedah, kita tiada halangan,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pun cadangan itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat perhubungan Pas Kedah, sebelum dimuktamadkan.

“Jika Mat Sabu bertanding di Kedah, saya yakin beliau boleh menang sebab pengaruh beliau masih kuat di sini, terutama Kuala Kedah. Pas Kedah sedia timbang cadangan itu, namun perlu persetujuan semua pihak,” katanya.

Phahrolrazi yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah berkata, sebelum ini Mat Sabu pernah bertanding di empat negeri, selain Kedah, iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

“Memang kita sudah bincang calon-calon layak bertanding dalam PRU13, termasuk calon import, tetapi ianya masih belum muktamad. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan menjelang tarikh pilihan raya,” katanya.

Mat Sabu menang dalam PRU tahun 1990 di Parlimen Nilam Puri dan kerusi Parlimen Kubang Kerian dalam PRU tahun 1995. Pada PRU 1999, beliau menang Parlimen Kuala Kedah, tetapi tewas di Kuala Terengganu dalam PRU 2008 kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Nama Mat Sabu kini kembali diperkatakan sebagai calon PRU13 di Kedah.

Pada Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya bersedia menerima Mat Sabu bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini, sekiranya mendapat ‘restu’ Pas
kawasan atau menerima pencalonan yang mahu beliau mewakili kerusi di Kedah.

Ini ekoran ura-ura mendakwa bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah (1999-2004) itu berminat bertanding di kerusi parlimen Pendang.

Pada Februari, krisis dalaman Pas Kedah membabitkan dua Exco Kerajaan Negeri, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, iaitu Dr Ismail Salleh dan Phahrolrazi, turut dikaitkan dengan usaha pihak tertentu untuk menempatkan Timbalan Presiden itu bertanding di Kedah pada PRU13, yang didakwa tiada dalam percaturan politik Azizan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud