Anggota Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman dituntut membuktikan dakwaannya bahawa peserta perhimpunan membantah projek petrokimia di kawasan itu pada 30 September lalu dibayar RM30 seorang.
"Kita menuntut supaya Azalina mengemukakan bukti dengan tuduhan berkenaan, kalau tidak, tarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," tuntut gabungan 30 NGO yang mengelarkan diri mereka "Johor Yellow Front".
Azalina kelmarin berkata di Parlimen, orang ramai, yang kebanyakannya didakwa orang luar, hadir ke perhimpunan itu kerana setiap peserta dibayar RM30.
Beliau juga mendakwa kebanyakannya peserta yang hadir orang luar dan jumlanya hanya 3,000 orang sahaja dan bukan 7,000 seperti didakwa penganjur.
Dalam kenyataan bersama 30 NGO itu hari ini, mereka juga mengkritik Azalina yang didakwa gagal mendengar suara rakyat tempatan yang menolak projek itu.
"(Tetapi) Datuk (Azalina) bukan sahaja tidak menghadiri perhimpunan ini, yang lebih mengecewakan, Datuk membuat tuduhan yang mengelirukan rakyat jelata.
"Ini termasuklah kenyataan 'orang tempatan/orang luar'," menurut kenyataan itu lagi.
Mereka juga berkata, projek petrokimia itu ditolak kerana isu alam sekitar, pengambilan tanah penduduk dan terjejasnya rezeki mereka.
"Kami hendak memastikan kehidupan hadapan anak-anak kita jauh dari pencemaran. Kesemua tindakan ini menunjukkan kita mencintai tanah air kita dan berhati suci untuk memeliharanya," kata gabungan NGO itu lagi. ~ Malaysiakini.com