(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR : Setelah gagal memberi pendidikan percuma di sekolah, Umno BN kini menyalurkan bantuan tanpa mengenakan bayaran kepada anak muda tentang bagaimana mahu membuat serangan ganas terhadap pimpinan pembangkang, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Sekarang kita nampak siapa yang didik dan beri pendedahan tentang politik ganas kepada anak muda, itu semua pendidikan yang diberi percuma oleh Umno,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas insiden serangan samseng Umno di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya tengahari tadi.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu berkata, budaya samseng Umno boleh merosakkan kemakmuran dan proses demokrasi di Malaysia.
“Jadi, Umno jangan marah bila ada anak muda yang berani tampil menurunkan bendera dan sebagainya kerana perlakuan seperti itu dipelajari mereka dari Umno sendiri,” kata Shamsul lagi.
“Pemimpin Umno pula dalam masa sama kononnya cuba tonjolkan politik aman, tapi menggunakan anak muda untuk tubuh pertubuhan dan berselindung di sebaliknya,” kecam beliau.
Umno sengaja cetus huru hara
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin turut mengutuk serangan tersebut.
Beliau menyifatkan Umno sengaja bertindak demikian untuk mencetuskan huru-hara.
“Umno semakin tertekan dengan kekurangan sokongan rakyat menjelang pilihan raya, sampai sanggup upah orang buat kerja tidak berfaedah begitu,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
“Pencacai Umno pula konon mengambil kesempatan untuk menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin mereka, sehingga ke tahap membodohkan diri,” tempelaknya.
Kumpulan samseng seramai 30 orang yang memakai kemeja-T berlogo Umno itu turut bertindak ganas dengan cuba menumbuk mereka yang mengawal keadaan.
Demonstrasi dileraikan sepuluh minit kemudian dengan bantuan polis seramai 20 anggota yang terpaksa membuat sekatan di hadapan pejabat.