ARTIKEL SEBELUM

1/09/12

Syiling RM36,800 bertaburan di atas jalan

Petugas lebuh raya mengumpul duit syiling yang bertaburan di atas jalan.


Bukit Beruntung - Tiga pengawal keselamatan cedera apabila sebuah van syarikat kawalan keselamatan yang membawa wang syiling terlibat kemalangan sebelum terbalik di Kilometer 426 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 12.10 pagi itu berpunca daripada masalah tayar belakang van sebelah kiri yang pecah sehingga mengakibatkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik.

Salah seorang mangsa, yang duduk di belakang van berkenaan, Ibrahim Jailani, 54, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Pejabat Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di Ipoh, namun van gagal dikawal kenderaan sebaik tayar belakang sebelah kanan pecah di lorong tengah lebuh raya.

“Tayar belakang meletup dan merempuh besi penghadang di bahu jalan.

“Rempuhan mengakibatkan van berpusing-pusing dan terbalik sebelum menggelongsor merintangi jalan di lorong kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan van remuk manakala pintu belakang terbuka.

Ibrahim yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun sebagai pengawal keselamatan berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian wang syiling bernilai lebih RM30,000 tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan.

Katanya, kejadian tersebut turut menyebabkan sebuah treler yang mengekori di belakang turut terbabas kira-kira satu kilometer dari van terbabit ketika cuba mengelak daripada terlanggar van mereka.

"Treler terbabit telah merempuh besi pembahagi lebuh raya dan berpusing ke arah bertentangan," katanya.


Selamat diri ikut pintu kecemasan van

Sementara itu, menurut Ibrahim, sebaik kemalangan berlaku, dia berusaha membantu dua lagi rakannya yang cedera untuk keluar dari van yang terbalik.

Dia berjaya membuka lubang kecemasan di bahagian bumbung van untuk keluar.

Bagaimanapun, ketika mereka cuba keluar menyelamatkan diri, pengguna jalan raya yang melalui kawasan kejadian tanpa rasa bersalah mengambil wang syiling yang bertaburan.

“Dalam tempoh lima minit saja orang yang melalui kawasan ini mengambil kesempatan berebut mengutip duit syiling yang bertaburan di jalan.

“Saya tak boleh buat apa-apa,” katanya yang akan bersara tahun depan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira lima kilometer dan mengambil masa lebih dua jam sebelum kembali terkawal.


Wang milik Plus, pasar raya

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, van terbabit membawa muatan wang syiling lama kepunyaan sebuah pasar raya dan Plus.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pemandu van berkenaan, Khairul Zani, 38, mereka dalam perjalanan ke Ipoh, Perak sebelum tayar belakang sebelah kiri pancit.

“Kenderaan telah hilang kawalan lalu terbalik. Dalam van ada pemandu dan dua orang pengiring. Pemandunya dirawat di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar.

“Jumlah wang dibawa lebih kurang RM36,800,” katanya. ~ SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud