ARTIKEL SEBELUM

10/09/12

Sabotaj bas PKR dirancang awal

 
 

KUALA KRAI - Kejadian bas digunakan PKR untuk program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah membuktikan betapa rendah moral dan tahap berpolitik kumpulan yang melakukan perbuatan itu.

Selepas kejadian pertama di Kota Bharu, 1 September lalu, bas itu sekali lagi didakwa disimbah cat merah dan dibaling batu ketika tiba untuk program Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Melaka di Jasin, Melaka, kelmarin.

Ketua Penerangan PKR Kelantan, Mohd Roslan Puteh berkata, beliau percaya tindakan jahat itu sudah dirancang lebih awal dan jadi agenda nasional kumpulan berkenaan.

“Ini kerana, sepanduk menghina Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati dipasang di tepi Lebuh Raya Timur Barat iaitu di Hentian Titiwangsa yang jadi laluan konvoi untuk menuju ke Grik dan Pengkalan Hulu sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bas dilengkapi 19 tempat duduk; wifi; ruang mesyuarat; sistem bunyi dan pentas segera itu dilancarkan PKR bagi kemudahan mengerakkan Jelajah Merdeka Rakyat, 31 Ogos lalu.

Rombongan jelajah disertai Anwar yang singgah di Kota Bharu pada keesokan harinya bagaimana pun dikejutkan dengan insiden cermin hadapan bas itu dipecahkan dan disimbah cat merah.

Kejadian turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melahirkan rasa malu dan kecewa kerana insiden berlaku di Kelantan serta menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Mohd Roslan yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Krai berkata, kejadian kenderaan dinaiki Penasihat PKR diserang ketika melawat negeri ini adalah yang kedua selepas kejadian pertama pada 30 Mac lalu.

Pada kejadian tersebut katanya, sekumpulan lelaki didakwa cuba menghalang kereta dinaiki Ketua Pembangkang itu sambil mengeluarkan kata lucah dan membawa sepanduk mengutuk Anwar.

“Laporan polis berhubung kedua-dua kejadian ini sudah dibuat dan saya berharap, siasatan serius, telus dan tanpa prejudis dapat dilakukan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, polis juga digesa ambil tindakan segera bagi membendung rancangan jahat pihak terbabit kerana dibimbangi akan mengeruhkan lagi keadaan jika ada tindak balas daripada penyokong PKR.

“Kepada pihak bertanggungjawab, saya minta mereka agar bersikap terbuka dalam berpolitik serta terima hakikat, rakyat kini sudah matang dan bijak memilih,” katanya. ~ SH

 Mohd Roslan Puteh

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud