Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.
Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau
Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.
Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi.
Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
"Bagi Kedah, kita belum mendapat maklum balas daripada menteri besar," katanya ~ Mkini